Produk Iceberg Lettuce Jenama Vege 2 Fresh Tercemar Dengan Bahan Kimia Fipronil?

TULAR:
1310
Sumber gambar: businessinsider.com

PENJELASAN:

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memperjelaskan laporan berhubung penarikan balik produk iceberg lettuce keluaran Malaysia dari pasaran Singapura kerana dikesan tercemar dengan bahan kimia fipronil.

Sumber gambar: Facebook

Menurut kenyataan rasmi KKM:

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil maklum mengenai isu penarikan balik produk iceberg lettuce keluaran Malaysia dari pasaran Singapura di laman sesawang Agri-Food & Veterinary Authority (AVA) bertarikh 4 Oktober 2018. Laporan tersebut menyatakan pihak AVA telah mengarahkan produk lettuce berjenama Pasar dan Iceberg keluaran Malaysia dengan berat 400 gram setiap produk ditarik balik dari pasaran Singapura kerana dikesan tercemar dengan bahan kimia fipronil.

Fipronil adalah sejenis racun serangga yang biasanya digunakan ke atas haiwan untuk mengatasi masalah kutu dan hama. Pengambilan fipronil pada paras yang tinggi dalam jangka masa pendek boleh menyebabkan berpeluh, loya, muntah, sakit kepala, sakit perut, pening, resah, lemah dan kekejangan.

Hasil pemantauan KKM melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan dari tahun 2017 sehingga Julai 2018, sebanyak 5,297 sampel sayur-sayuran dan buah-buahan telah diambil di pasaran tempatan  dan di pintu masuk negara bagi yang diimport untuk dianalisis. Hasil analisis mendapati sebanyak 97 (1.8%) sampel dikesan mengandungi residu racun perosak melebihi kadar maksimum yang dibenarkan dan tindakan penguatkuasaan telah dijalankan.

Bagi isu penjualan lettuce ini, KKM telah menjalankan siasatan dan mengesahkan bahawa produk lettuce terlibat dijual di pasaran tempatan dengan jenama Vege 2 Fresh. Sehubungan itu, syarikat terlibat sedang menarik balik produk secara sukarela dari pasaran. Manakala pihak penjual diminta untuk  menghentikan penjualan produk tersebut serta-merta. Pengguna yang telah membeli produk tersebut dinasihatkan supaya tidak memakannya.

SUMBER:

Laman Rasmi Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia


MAINKAN PERANAN ANDA!
Sekiranya anda mempunyai maklumat mengenai berita tidak ditentusah yang melibatkan kepentingan awam mahupun negara,
Salurkan Kepada Kami

TIDAK PASTI JANGAN KONGSI