Waspada Aplikasi Hasad (APK) “Durian King” Yang Mencuri Butiran Perbankan

TULAR:
998

Pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menasihatkan orang ramai agar berwaspada terhadap aplikasi hasad (APK) “Durian King”.

Para pengguna yang tertarik dengan tawaran (durian) yang diiklankan oleh pihak scammer akan diminta untuk memuat turun (download) dan memasang (install) aplikasi hasad tersebut; kononnya untuk membuat atau melengkapkan tempahan, pembelian atau transaksi pembayaran.

Selepas dipasang di dalam telefon pintar, aplikasi hasad berkenaan boleh mengakses dan mencuri butiran perbankan (termasuk TAC/OTP, kata nama, dan katalaluan); yang boleh membawa kepada kerugian wang ringgit kepada mangsa.

Para pengguna adalah diingatkan agar tidak memuat turun dan memasang aplikasi yang tidak pasti ketulenannya, atau daripada sumber yang tidak dapat dikenalpasti. Pengguna turut dinasihatkan agar hanya memuat turun aplikasi daripada gedung aplikasi rasmi seperti Apple App Store, Google Play Store dan Huawei AppGallery. 

Pengguna yang telah terpedaya atau menjadi mangsa aplikasi hasad (APK) “Durian King” diminta segera melaporkan ke Pusat Respons Scam Kebangsaan (National Scam Response Centre, NSRC) di talian “997”; selain segera membuang (uninstall) aplikasi hasad tersebut daripada telefon pintar masing-masing.


MAINKAN PERANAN ANDA!
Sekiranya anda mempunyai maklumat mengenai berita tidak ditentusah yang melibatkan kepentingan awam mahupun negara,
Salurkan Kepada Kami

TIDAK PASTI JANGAN KONGSI