
Menurut kenyataan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS):
AKPS memandang serius tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang menyalahgunakan nama Ketua Pengarah serta identiti AKPS dan pegawainya bagi tujuan urusan perolehan Kerajaan.
Berdasarkan aduan telah diterima, terdapat syarikat yang telah menerima dokumen yang didakwa sebagai Surat Setuju Terima (SST) yang ditandatangani oleh Ketua Pengarah AKPS, melibatkan sejumlah nilai perolehan bagi pembekalan antaranya jaket pelindung diri taktikal, genset dan alat tulis. Dokumen berkenaan dipercayai menggunakan tandatangan Ketua Pengarah AKPS dan pegawai beserta kepala surat yang palsu bagi menyakinkan pihak syarikat bahawa tawaran tersebut merupakan urusan rasmi daripada AKPS.
Susulan itu, satu laporan polis telah dibuat berhubung penyalahgunaan nama Ketua Pengarah AKPS dan pegawainya, dan perkara ini telah diserahkan kepada pihak berkuasa untuk siasatan serta tindakan lanjut.
AKPS ingin menegaskan bahawa segala urusan perolehan agensi ini dilaksanakan mengikut tatacara, prosedur dan peraturan perolehan Kerajaan yang sedang berkuat kuasa. Sekiranya terdapat mana-mana pihak menerima sebarang surat tawaran atau SST daripada agensi ini, adalah disarankan untuk membuat pengesahan terlebih dahulu sebelum membuat sebarang komitmen kewangan.
AKPS memandang serius sebarang bentuk penyamaran, pemalsuan dokumen serta penyalahgunaan nama, identiti dan jawatan pegawai AKPS yang boleh menjejaskan reputasi agensi ini. Orang awam juga dinasihatkan untuk lebih berhati-hati bagi mengelakkan terpedaya dengan penipuan seumpama ini.
SUMBER:






