Dakwaan Bahawa Malaysia Akan Muflis Akibat Jumlah Hutang Yang Tinggi Adalah Tidak Benar

TULAR:
1216

SEBENARNYA:

Menurut kenyataan media Kementerian Kewangan Malaysia (MOF):

Merujuk kepada beberapa laporan di media sosial yang dilihat bertujuan untuk mengelirukan rakyat mengenai kedudukan kewangan dan situasi hutang negara, Kementerian Kewangan (MOF) ingin memaklumkan bahawa kedudukan fiskal negara masih kukuh dan hutang Kerajaan Persekutuan di tahap terkawal.

MOF ingin menekankan bahawa aspek penting dalam pengurusan hutang adalah kemampuan keberhutangan (debt affordability) dan kemampanan hutang (debt sustainability). Dalam hal ini, hutang Kerajaan Persekutuan jelas masih terkawal berdasarkan faktor-faktor berikut:

  1. Walaupun negera telah melalui beberapa siri krisis kemelesetan ekonomi dan kewangan sebelum ini, Kerajaan amat berdisiplin dan tidak pernah gagal membayar faedah dan hutang yang matang. Ini membuktikan reputasi dan kemampuan Malaysia sebagai penghutang yang mempunyai rekod bayaran balik yang baik.
  2. Pengurusan hutang secara berhemat juga diterapkan melalui undang-undang sedia ada, antara lainnya:
    • Artikel 98(1)(b) Perlembagaan Persekutuan menetapkan supaya Kerajaan sentiasa mengutamakan perbelanjaan berkaitan hutang (debt charges) berbanding perbelanjaan operasi yang lain.
    • Akta Pinjaman Luar Negeri 1963 memperuntukkan pinjaman luar pesisir (offshore borrowings) tidak boleh melebihi RM35 bilion. Pada akhir Jun 2022, hutang ini berjumlah 29.4 bilion.
    • Akta Langkah-Langkah Sementara Bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19)) (Pindaan) 2021 menetapkan bahawa had statutori hutang Kerajaan tidak boleh melebihi 65% daripada KDNK. Pada akhir Jun 2022, hutang statutori mencatat 60.4% daripada KDNK.
  3. Selain itu, 97% daripada jumlah hutang Kerajaan Persekutuan adalah dalam denominasi Ringgit. Ini mencerminkan pengurusan hutang berhemat kerana pendedahan kepada risiko tukaran mata wang asing (foreign exchange risk) adalah minimum.
  4. Paras hutang yang tinggi tidak bermakna negara mempunyai risiko kebankrapan. Pelbagai agensi penarafan antarabangsa seperti S&P Global, Fitch dan Moody’s sentiasa menilai tahap hutang sesebuah negara bersama dengan faktor lain seperti rangka kerja fiskal berhemat, tadbir urus yang utuh dan kedudukan luaran yang baik, serta kekukuhan ekonominya.
  5. Pihak Dana Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) turut mengakui bahawa kedudukan hutang Malaysia masih di paras terurus. Baru-baru ini, S&P menjangkakan bahawa perancangan dasar Kerajaan akan menyokong pengukuhan kedudukan fiskal negara.

Berdasarkan faktor-faktor di atas, MOF juga ingin menyangkal dakwaan beberapa pihak yang tidak bertanggungjawab dan berniat jahat bahawa Malaysia bakal menjadi muflis seperti sebuah negara di Asia Selatan baru-baru ini. Selain itu, MOF telah membuat aduan rasmi kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengenai beberapa laporan palsu di media sosial mengenai kedudukan hutang negara yang dilihat bertujuan mengelirukan rakyat dan berpotensi untuk menjejaskan keyakinan pelabur terhadap Malaysia.

SUMBER:

Facebook Rasmi MOF
Facebook Rasmi Menteri Kewangan Malaysia


MAINKAN PERANAN ANDA!
Sekiranya anda mempunyai maklumat mengenai berita tidak ditentusah yang melibatkan kepentingan awam mahupun negara,
Salurkan Kepada Kami

TIDAK PASTI JANGAN KONGSI