Dakwaan Pihak Berkuasa Tidak Mengambil Tindakan Terhadap Seorang Wanita Mendera Seorang Kanak-Kanak Tidak Benar

TULAR:
1253

Menurut kenyataan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut:

Pada 16 Mac 2022 jam 08.46 pagi, terkesan satu (1) video berdurasi 15 saat dimuat naik oleh pemilik akaun Twitter Anne Faizuani memaparkan tindakan seorang wanita mendera seorang kanak-kanak, seperti di pautan:
URL: https://twitter.com/cocoandbrownie/status/1503713571485929472. Pemilik akaun berkenaan turut menyatakan bahawa pihak polis gagal mengambil tindakan dalam kes tersebut dengan memberi alasan kononnya suspek mengalami masalah mental.

Pihak PDRM IPD Timur Laut telah membuat penelitian terhadap video berkenaan dan tuduhan pemilik akaun Twitter yang mengatakan polis tidak mengambil apa-apa tindakan terhadap suspek adalah tidak benar. Ini kerana kejadian tersebut berlaku pada 2 Disember 2021 dan satu laporan polis juga telah dibuat oleh seorang wanita tempatan pada 7 Disember 2021 yang mana kes telah disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.

Suspek dalam kes berkenaan iaitu seorang warga asing berusia 53 tahun (pengasuh kepada kanak-kanak dalam video berkenaan) juga telah ditangkap oleh pihak polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Timur Laut pada 8 Disember 2021 di rumah lokasi kejadian iaitu di kawasan Gelugor, Pulau Pinang.

Pada 27 Disember 2021, suspek telah dituduh di Mahkamah Majistret Georgetown Pulau Pinang di bawah Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63 atas kesalahan tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah dan dijatuhi hukuman penjara (3) bulan. Pada 16 Mac 2022, setelah meneliti laporan perubatan dan keterangan yang ada, Pejabat Pendakwaraya Pulau Pinang telah mengeluarkan arahan supaya suspek turut dituduh di bawah Seksyen 3(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001. Suspek akan dituduh di Mahkamah Majistret Pulau Pinang dalam masa terdekat.

Pihak PDRM ingin mengingatkan orang ramai supaya menyemak sesusatu isu atau kejadian sebelum mengambil tindakan untuk menyebar luas (viral) bagi mengelakkan berlakunya penyebaran maklumat tidak tepat dan mengelirukan orang ramai. Tindakan menyebarkan berita tidak benar adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan.

SUMBER:

Facebook Rasmi IPD Timur Laut


MAINKAN PERANAN ANDA!
Sekiranya anda mempunyai maklumat mengenai berita tidak ditentusah yang melibatkan kepentingan awam mahupun negara,
Salurkan Kepada Kami

TIDAK PASTI JANGAN KONGSI