Makluman: Kenyataan Media MAHAR Berhubung Isu Pelarian Rohingya di Malaysia

TULAR:
3

Menurut Malaysian Humanitarian Aid and Relief (MAHAR):

MAHAR menghargai keprihatinan yang disuarakan oleh pelbagai pertubuhan Rohingya antarabangsa berhubung nasib komuniti pelarian Rohingya di Malaysia serta mengakui penderitaan yang dialami etnik Rohingya akibat kezaliman Junta Tentera Myanmar.

Dalam kenyataan medianya, MAHAR menegaskan bahawa Malaysia bukan negara penempatan semula (resettlement country), sebaliknya merupakan sebuah negara transit. Sehubungan itu, organisasi tersebut berpandangan bahawa tanggungjawab mempercepatkan proses penempatan semula pelarian ke negara ketiga perlu dipikul oleh UNHCR dengan sokongan komuniti antarabangsa.

MAHAR turut menyatakan bahawa kehadiran pelarian dalam jumlah yang besar memberi tekanan kepada ekonomi, perkhidmatan awam, keselamatan komuniti dan struktur sosial negara. Oleh itu, organisasi berkenaan berpendapat bahawa beban pengurusan pelarian tidak seharusnya ditanggung oleh Malaysia semata-mata.

Menurut kenyataan itu lagi, pemegang kad UNHCR tetap tertakluk kepada undang-undang Malaysia dan perlu mematuhi peraturan serta menghormati budaya dan nilai masyarakat tempatan sepanjang berada di negara ini.

MAHAR juga berpandangan bahawa keperluan asas pelarian seperti tempat perlindungan, pendidikan, kesihatan dan peluang pekerjaan sepanjang tempoh transit perlu diurus secara lebih teratur bagi mengurangkan kebergantungan kepada bantuan kebajikan semata-mata.

Selain itu, MAHAR menyeru pertubuhan-pertubuhan Rohingya supaya memperluaskan peranan mereka dengan mendidik komuniti pelarian mengenai tanggungjawab mereka sebagai pelarian di negara transit, memupuk penghormatan terhadap undang-undang serta budaya Malaysia, dan terus memperjuangkan penyelesaian jangka panjang krisis Rohingya melalui tekanan antarabangsa terhadap Junta Tentera Myanmar.

Dalam aspek keselamatan, MAHAR menegaskan bahawa ia merupakan tanggungjawab bersama. Organisasi itu menyatakan bahawa pelarian berhak memperoleh perlindungan semasa berada di negara transit, manakala masyarakat Malaysia juga berhak berasa selamat dengan kehadiran mereka.

MAHAR turut menyambut baik permohonan maaf serta gesaan yang dikemukakan oleh 40 NGO Rohingya, namun berpandangan bahawa tuntutan berkaitan penempatan semula pelarian perlu turut ditujukan kepada UNHCR, komuniti antarabangsa dan Junta Myanmar, bukan kepada Malaysia semata-mata.

Kenyataan itu turut menegaskan bahawa MAHAR kekal komited melaksanakan usaha-usaha kemanusiaan yang berteraskan keadilan, keselamatan dan maruah manusia demi kesejahteraan pelarian serta rakyat Malaysia.

SUMBER:

Facebook Rasmi MAHAR

Instagram Rasmi MAHAR


MAINKAN PERANAN ANDA!
Sekiranya anda mempunyai maklumat mengenai berita tidak ditentusah yang melibatkan kepentingan awam mahupun negara,
Salurkan Kepada Kami

TIDAK PASTI JANGAN KONGSI