
Menurut Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI):
Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah mengeluarkan satu ralat siaran media bagi menggantikan versi terdahulu yang dikeluarkan pada 29 Jun 2026 berhubung pengumuman Malaysia sebagai tuan rumah Mesyuarat Menteri-Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi ASEAN Ke-23 (AMMSTI-23).
Menurut MOSTI, Malaysia secara rasmi akan menjadi tuan rumah Mesyuarat Menteri-Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi ASEAN Ke-23 (AMMSTI-23) pada Jun 2027 selepas penyerahan tugas disahkan semasa penutupan Mesyuarat Menteri-Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi ASEAN Ke-22 (AMMSTI-22) yang berlangsung di Vientiane, Lao PDR.
Delegasi Malaysia diketuai oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Datuk Chang Lih Kang yang turut menegaskan komitmen negara untuk menerajui pelbagai inisiatif serantau berimpak tinggi bagi memperkukuh ekosistem inovasi ASEAN.
Dalam mesyuarat tersebut, ASEAN turut melancarkan Dana STI ASEAN (ASTIF) bertemakan “ASEAN Grand Challenge: AI-Enabled Competitive and Resilient Region” bagi memperkukuh penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam menangani cabaran serantau. Selain itu, beberapa inisiatif lain termasuk pembangunan teknologi AI, kerjasama angkasa lepas dan pengoperasian hab Pengkomputeran Berprestasi Tinggi (HPC) ASEAN-Korea di Indonesia turut diumumkan.
MOSTI turut memaklumkan bahawa Malaysia mencatat satu lagi kejayaan apabila pasukan Universiti Malaya bersama Xuzhou Medical University muncul sebagai Johan Kategori Pasukan dalam Pertandingan Inovasi dan Keusahawanan China-ASEAN (CAIEC) Ke-4 menerusi projek YuCare Medical Technology, iaitu sistem rehabilitasi pintar berasaskan AI untuk penjagaan kesihatan digital.
Sebagai persediaan menjadi Pengerusi AMMSTI-23 pada tahun hadapan, MOSTI akan memberi tumpuan kepada pembangunan bakat, pengukuhan teknologi mendalam (deep tech) serta memperluaskan kerjasama strategik dengan negara-negara ASEAN.
SUMBER:






