
Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR):
Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) memaklumkan bahawa Daftar Pemilih Tambahan Bulan Mei Tahun 2026 (DPT BLN5/2026) telah diperaku pada 29 Jun 2026 dan diwartakan pada 30 Jun 2026.
Menurut SPR, daftar pemilih tambahan tersebut dibuka untuk semakan selama 30 hari, bermula 30 Jun 2026 sehingga 29 Julai 2026.
DPT BLN5/2026 mengandungi:
- 40,139 warganegara berumur 18 tahun ke atas yang didaftarkan secara automatik sebagai pemilih baharu;
- 23,902 pemilih berdaftar yang telah bertukar bahagian pilihan raya; dan
- 3,400 pemilih yang bertukar kategori pengundi atau status.
Orang ramai boleh membuat semakan melalui Portal SPR, portal Pejabat Pilihan Raya Negeri, aplikasi dalam talian MySPR, aplikasi mudah alih MySPR Semak, atau menghubungi Hotline Semakan Pendaftaran Pemilih.
SPR turut menyeru semua warganegara yang layak serta pemilih yang telah memohon pertukaran bahagian pilihan raya atau kategori pengundi supaya menyemak nama mereka dalam DPT BLN5/2026.
Sekiranya nama tidak disenaraikan, pemilih boleh mengemukakan Tuntutan (Borang C). Mana-mana pemilih berdaftar yang ingin membantah kemasukan nama pemilih yang memohon pertukaran bahagian pilihan raya pula boleh mengemukakan Bantahan (Borang D) dalam tempoh semakan yang ditetapkan.
Borang C dan Borang D boleh dimuat turun melalui portal Pejabat Pilihan Raya Negeri sebelum dikemukakan kepada Pengarah Pilihan Raya Negeri berkenaan berserta fi bantahan mengikut prosedur yang ditetapkan.
Orang ramai yang memerlukan maklumat lanjut mengenai urusan semakan DPT BLN5/2026 boleh merujuk portal rasmi SPR atau menghubungi talian 03-8892 7218.
SUMBER:






