
Menurut Kementerian Kewangan (MOF):
Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan bahawa pelaksanaan BUDI MADANI (BUDI Diesel) akan bermula pada 1 Julai 2026, membolehkan pemilik kenderaan diesel persendirian yang layak membeli diesel bersubsidi pada harga RM2.15 seliter.
Menurut MOF, pelaksanaan tersebut dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 400,000 pemilik kenderaan diesel persendirian di Semenanjung Malaysia serta 300,000 lagi di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan. Selain itu, kira-kira 70,000 kenderaan komersial dan pengangkutan barangan di Sabah, Sarawak dan Labuan turut layak menikmati diesel bersubsidi melalui Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).
Bagi memudahkan pengguna, kerajaan turut mengumumkan pengecualian fi tukar hak milik kenderaan diesel yang berdaftar atas nama ahli keluarga terdekat selama tiga bulan bermula 1 Julai 2026. Kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) juga akan dibuka pada hujung minggu sepanjang 4 hingga 26 Julai 2026 bagi membantu urusan berkenaan.
MOF turut memperkenalkan mekanisme baharu yang membolehkan kelayakan membeli diesel bersubsidi dipindahkan kepada seorang ahli keluarga terdekat seperti pasangan, ibu bapa, anak atau adik-beradik, tertakluk kepada syarat yang ditetapkan. Sehingga 30 Jun 2026, hampir 1,000 permohonan pemindahan kelayakan telah diterima.
Selain itu, pemilik kenderaan diesel jenis pikap dan jip yang memenuhi syarat boleh memohon tambahan kuota 100 liter diesel sebulan melalui portal rasmi BUDI MADANI. Setakat 9.00 pagi, 30 Jun 2026, lebih 22,000 permohonan telah diterima.
Kementerian Kewangan memaklumkan bahawa orang ramai boleh menyemak status kelayakan, had subsidi bulanan serta maklumat lanjut melalui portal rasmi BUDI MADANI. Kerajaan akan terus memantau pelaksanaan inisiatif tersebut bagi memastikan subsidi disalurkan kepada penerima yang layak, mengurangkan ketirisan dan menjamin bekalan bahan api negara.
SUMBER:






