PERHILITAN Jelaskan Penggunaan Gajah Dalam Program Komuniti MADANI di Kampung Pasir Tumboh

TULAR:
2

Menurut Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) :

Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Semenanjung Malaysia mengeluarkan kenyataan media bagi menjelaskan isu tular di media sosial berhubung penggunaan dua ekor gajah, Sanum dan Mekna, dalam perarakan sempena Program Komuniti MADANI di Kampung Pasir Tumboh, Kota Bharu, Kelantan.

Menurut PERHILITAN, pihaknya menerima permohonan bagi pameran gajah dan hidupan liar pada 25 Mei 2026 daripada Pengarah Tanah dan Galian Negeri Kelantan. Permohonan tersebut kemudiannya diteliti dan diluluskan oleh Mesyuarat Jawatankuasa Permohonan Permit Khas pada 16 Jun 2026 berdasarkan Prosedur Operasi Standard (SOP) Pengendalian Program Perarakan Gajah yang berkuat kuasa sejak 31 Disember 2016.

PERHILITAN turut menjelaskan bahawa pemeriksaan kesihatan gajah, pemilihan gajah yang terlibat serta penilaian aspek kebajikan haiwan telah dilaksanakan mengikut SOP sebelum, semasa dan selepas program berlangsung, termasuk sepanjang proses pengangkutan dan penyediaan gajah.

Walau bagaimanapun, jabatan itu memaklumkan bahawa pihaknya mengambil serius pandangan dan kebimbangan masyarakat mengenai isu kebajikan gajah. Sehubungan itu, PERHILITAN akan menubuhkan Pasukan Petugas Khas bagi mengkaji dan menambah baik undang-undang serta SOP sedia ada dengan penglibatan pelbagai pihak berkepentingan.

Selain itu, PERHILITAN akan mendapatkan kerjasama Unit Integriti Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) serta Bahagian Penyiasatan Tatakelola, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memperkemaskan prosedur berkaitan secara menyeluruh.

PERHILITAN turut menggesa orang ramai supaya mendapatkan maklumat daripada sumber rasmi dan tidak menyebarkan maklumat yang tidak disahkan bagi mengelakkan kekeliruan. Sebarang aduan berkaitan boleh disalurkan melalui talian 1-800-88-5151 atau Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) di laman sesawang rasmi PERHILITAN.

SUMBER:

Facebook Rasmi PERHILITAN

Instagram Rasmi PERHILITAN

X Rasmi PERHILITAN


MAINKAN PERANAN ANDA!
Sekiranya anda mempunyai maklumat mengenai berita tidak ditentusah yang melibatkan kepentingan awam mahupun negara,
Salurkan Kepada Kami

TIDAK PASTI JANGAN KONGSI