Makluman: MOTAC Jalankan Libat Urus Bersama Industri Berhubung Kesan Kenaikan Harga Diesel Terhadap Bas Persiaran

TULAR:
4

Menurut Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC):

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) memaklumkan bahawa kementerian telah memulakan sesi libat urus bersama pemain industri serta mengadakan perbincangan rentas kementerian bagi meneliti langkah yang sesuai untuk membantu pengusaha bas persiaran yang terkesan akibat kenaikan harga diesel.

Menurut kenyataan media MOTAC, tindakan tersebut diambil susulan memorandum yang dikemukakan oleh sembilan persatuan pelancongan kepada Perdana Menteri berhubung kesan kenaikan kos operasi bas persiaran.

MOTAC menjelaskan bahawa pihaknya telah mengadakan sesi libat urus bersama wakil persatuan pelancongan bagi mendapatkan pandangan dan maklum balas secara langsung mengenai cabaran yang dihadapi industri. Selain itu, kementerian turut mengadakan perbincangan bersama Kementerian Kewangan (MOF) bagi meneliti pendekatan yang paling sesuai dan praktikal untuk membantu industri.

Walau bagaimanapun, MOTAC memaklumkan bahawa sehingga kini masih terdapat persatuan dan pengusaha yang belum mengemukakan data penggunaan diesel serta dokumen berkaitan yang diperlukan. Maklumat tersebut penting bagi membolehkan kerajaan menilai peningkatan kos sebenar yang ditanggung oleh pengusaha sebelum sebarang bentuk bantuan atau insentif dipertimbangkan.

Menurut MOTAC, Kementerian Kewangan pada dasarnya bersetuju untuk meneliti cadangan berkaitan, namun penetapan sebarang bentuk bantuan perlu disokong oleh data yang lengkap dan tepat bagi memastikan bantuan yang diberikan adalah bersasar, adil dan berkesan.

Sehubungan itu, MOTAC menyeru semua persatuan dan pengusaha yang masih belum mengemukakan maklumat berkaitan supaya berbuat demikian dengan kadar segera bagi mempercepatkan proses penilaian kerajaan.

MOTAC turut menegaskan bahawa kementerian akan terus mengutamakan kesejahteraan rakyat dan kelangsungan industri pelancongan negara, dengan sebarang langkah susulan akan diputuskan selepas melalui penilaian dan pertimbangan yang menyeluruh.

SUMBER:

Facebook Rasmi MOTAC

Instagram Rasmi MOTAC


MAINKAN PERANAN ANDA!
Sekiranya anda mempunyai maklumat mengenai berita tidak ditentusah yang melibatkan kepentingan awam mahupun negara,
Salurkan Kepada Kami

TIDAK PASTI JANGAN KONGSI