Makluman: Perundangan Baharu Lebih Komprehensif Digariskan Dalam RPTM 2026-2035

TULAR:
9

Menurut kenytaan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT):

KPT telah pun mengambil kira keperluan untuk memperbaharui kerangka perundangan pendidikan tinggi negara dengan merangka sebuah akta baharu yang lebih komprehensif bagi menggantikan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (Akta 30) [AUKU]. Usaha ini telah digariskan dalam Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035, yang diluncurkan pada Januari 2026, menerusi agenda pembentukan One Higher Education Act.

Justeru, saya mengambil maklum pengumuman YAB Perdana Menteri berhubung kenyataan beliau untuk memansuhkan AUKU ketika ucapan dasar presiden pada Kongres Nasional Keadilan 2026.

AUKU bukan semata-mata akta yang mengawal selia hal ehwal atau kebebasan mahasiswa. la merupakan akta induk yang menjadi asas kepada penubuhan, pentadbiran dan tadbir urus universiti serta kolej universiti. Oleh itu, pemansuhannya perlu disusuli dengan suatu kerangka perundangan baharu yang lebih menyeluruh, progresif dan sesuai dengan keperluan pendidikan tinggi masa kini serta masa hadapan.

Proses ini pastinya akan dilaksanakan secara inklusif dan menyeluruh, dengan mengambil kira pandangan semua pihak berkepentingan termasuk kepimpinan universiti, ahli akademik, Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) awam dan swasta, pemain industri, politeknik dan kolej komuniti (POLYCC), penyedia TVET, pakar perundangan, mahasiswa serta pihak-pihak berkaitan.

Matlamat kita bukan sekadar untuk memansuhkan sebuah akta, tetapi untuk membina kerangka perundangan pendidikan tinggi yang lebih komprehensif dan berdaya hadapan bagi memperkukuh autonomi institusi, kebebasan akademik dan suara mahasiswa, di samping memastikan tadbir urus, akauntabiliti serta kecemerlangan IPT terus terpelihara.

Ini merupakan sebahagian daripada transformasi pendidikan tinggi negara yang telah kita mulakan menerusi Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035, bagi memastikan sistem pendidikan tinggi Malaysia kekal relevan, dinamik dan mampu menghadapi perubahan landskap pendidikan global.

SUMBER:

Facebook Rasmi KPT


MAINKAN PERANAN ANDA!
Sekiranya anda mempunyai maklumat mengenai berita tidak ditentusah yang melibatkan kepentingan awam mahupun negara,
Salurkan Kepada Kami

TIDAK PASTI JANGAN KONGSI