
Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MET):
Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) telah menerima aduan berhubung cubaan penipuan oleh pihak yang menyamar sebagai pegawai MET Malaysia bagi menawarkan urusan perolehan kerja, pembekalan dan perkhidmatan yang sebenarnya tidak wujud.
MET Malaysia memandang serius perkara ini dan ingin menegaskan bahawa Jabatan TIDAK PERNAH mengeluarkan sebarang permohonan atau tawaran berkaitan perolehan kerja, pembekalan mahupun perkhidmatan melalui aplikasi media sosial seperti WhatsApp atau Telegram, mahupun melalui emel selain daripada emel rasmi Jabatan.
Sehubungan itu, MET Malaysia telah membuat laporan polis berhubung perkara ini. Orang ramai yang telah menjadi mangsa atau menerima permohonan mencurigakan yang menggunakan nama MET Malaysia juga disaran supaya segera membuat laporan kepada pihak berkuasa bagi membantu siasatan.
Untuk makluman, semua urusan perolehan MET Malaysia dilaksanakan hanya melalui Sistem e-Perolehan mengikut tatacara dan peraturan perolehan Kerajaan yang berkuat kuasa.
Orang ramai, syarikat dan pembekal dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada serta membuat semakan terlebih dahulu terhadap kesahihan sebarang tawaran atau permohonan yang dikaitkan dengan MET Malaysia. Sebarang pertanyaan atau pengesahan boleh dibuat dengan menghubungi Unit Perolehan MET Malaysia melalui saluran rasmi Jabatan.
SUMBER:






