
SEBENARNYA:
Menurut kenyataan Pejabat Media dan Komunikasi Keluarga Diraja Johor (Royal Press Office):
Royal Press Office mengesan kewujudan sebuah akaun TikTok palsu yang dipercayai menggunakan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) bagi menghasilkan kandungan bersifat fitnah dan penghinaan terhadap KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.
Kandungan video yang dimuat naik di dalam akaun palsu itu, “Sultan Ibrahim Ismail” dengan memaparkan gambar Seri Paduka Baginda kononnya gemar memakan daging khinzir.
Tuduhan itu merupakan satu penghinaan serius, berniat jahat serta amat sensitif memandangkan Seri Paduka Baginda ialah Raja Melayu dan Ketua Negara yang beragama Islam.
Royal Press Office turut melahirkan rasa kesal terhadap satu lagi imej dalam akaun berkenaan yang memaparkan wajah Seri Paduka Baginda dipadankan pada tubuh seekor haiwan, yang jelas bersifat menghina dan tidak bertanggungjawab.
Sehubungan itu, Royal Press Office amat berharap Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang terlibat.
SUMBER:
Facebook Rasmi Royal Press Office






