Waspada Panggilan Telefon Sindiket Yang Kononnya Pegawai Polis

TULAR:
1699

WASPADA:

Orang ramai dinasihatkan agar berwaspada dengan panggilan telefon oleh sindiket yang menggunakan pelbagai kaedah untuk menghubungi orang awam, dan menyamar sebagai anggota polis.

Gambar hiasan. Sumber : Pexels

Menurut Polis Diraja Malaysia (PDRM):

Pelbagai kaedah yang digunakan sindiket seperti menggunakan suara operator telefon yang kemudiannya disambung dengan pegawai polis berpangkat tinggi, menggunakan Voice Over Internet Protocol (VOIP) dan pelbagai lagi.

Pemanggil memberitahu mangsa mempunyai kes polis antaranya kemalangan, kes mahkamah, kes saman trafik dan kononnya akaun bank mangsa menjadi kegunaan aktiviti yang menyalahi undang-undang.

Mangsa kemudian diminta untuk melakukan beberapa pemindahan wang ke dalam akaun tertentu untuk menyelesaikan kes tersebut atau bagi mengelakkan kehilangan wang.

Adalah dimaklumkan bahawa kaedah berikut BUKAN prosedur pihak polis untuk menghubungi orang awam bagi menyelesaikan kes lebih-lebih lagi menggunakan nombor telefon bimbit peribadi.

Pihak mahkamah pula tidak akan sesekali menghubungi orang awam untuk memaklumkan sesuatu perkara seperti pewarisan harta. Mahkamah hanya mengeluarkan sapina yang akan diserahkan sendiri atau melalui tangan iaitu penerima dikehendaki menandatangani penerimaan sapina terbabit. Manakala penyerahan sapina berkaitan kes jenayah hanya boleh dilakukan oleh pihak polis manakala untuk perkara selain jenayah, ia dilakukan oleh firma guaman.

Jangan mudah panik, jika semakan mendapati nombor telefon yang digunakan adalah sama dengan balai polis, IPD atau IPK berkaitan, sila hubungi semula balai polis berdekatan kerana sindiket mungkin menggunakan kaedah Voice Over Internet Protocol (VOIP) atau adalah lebih afdal anda hadirkan diri di mana-mana balai polis berhampiran untuk bantuan lanjut.

SUMBER:

Facebook Rasmi PDRM


MAINKAN PERANAN ANDA!
Sekiranya anda mempunyai maklumat mengenai berita tidak ditentusah yang melibatkan kepentingan awam mahupun negara,
Salurkan Kepada Kami

TIDAK PASTI JANGAN KONGSI