Waspada Penjualan Minyak Precatoria Bagi Menghasilkan Vaksin COVID-19

TULAR:
553

Menurut kenyataan media JSJK PDRM:

Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) telah mengesan terdapat kegiatan penipuan dalam talian berkaitan penjualan bahan organik minyak precatoria yang didakwa digunakan untuk menghasilkan vaksin COVID-19 kepada beberapa syarikat di Malaysia. Pihak polis telah menerima 5 aduan dari mangsa yang telah diperdaya melibatkan jumlah kerugian sebanyak RM128,498.00.

Berdasarkan siasatan, modus operandi yang digunakan sindiket ini adalah dengan menghantar email kepada syarikat yang disasarkan dan menawarkan penjualan minyak precatoria kepada syarikat tersebut. Mana-mana syarikat yang berminat kemudiannya diminta untuk membuat pembayaran ke dalam akaun yang diberikan (akaun keldai) bagi tujuan membeli sampel bahan organik bagi menghasilkan vaksin COVID-19. Bagaimanapun selepas melakukan pembayaran, mangsa tidak menerima sebarang sampel yang dijanjikan dan sindiket gagal dihubungi.

Dalam usaha menangani pandemic COVID-19, pihak polis tidak menolak kemungkinan bahawa terdapat sindiket penipuan yang cuba untuk menangguk di air keruh dengan menjadikan isu-isu berkaitan COVID-19 sebagai modal untuk meraih keuntungan. Justeru, pihak polis menasihati orang ramai untuk sentiasa berhati-hati dan berwaspada berkenaan perkara-perkara sebegini. Adalah ditegaskan, pihak kerajaan sentiasa memberi keutamaan dalam sebarang inisiatif menangani COVID-19 samada dari segi pemberian vaksin mahupun kajian pembangunan vaksin. Justeru, sewajarnya mana-mana individu mahupun syarikat yang ingin terlibat merujuk kepada agensi kerajaan yang berkaitan sebelum membuat keputusan.

Pihak polis juga menggesa orang ramai untuk menyalurkan sebarang maklumat mengenai penipuan penjualan bahan-bahan organik dalam menghasilkan vaksin COVID-19 kepada pihak polis agar tindakan segera dapat diambil.

SUMBER:

Facebook Rasmi JSJK PDRM
Facebook Rasmi PDRM
Twitter Rasmi PDRM


MAINKAN PERANAN ANDA!
Sekiranya anda mempunyai maklumat mengenai berita tidak ditentusah yang melibatkan kepentingan awam mahupun negara,
Salurkan Kepada Kami

TIDAK PASTI JANGAN KONGSI