
Menurut Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP):
Sempena sambutan Hari PMKS Antarabangsa 2026, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) merakamkan penghargaan kepada seluruh perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) atas sumbangan besar mereka kepada ekonomi negara.
PMKS merupakan antara pemacu utama ekonomi Malaysia dengan menyumbang hampir 40 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) serta menyediakan lebih 8 juta peluang pekerjaan, iaitu hampir separuh daripada tenaga kerja negara.
Walaupun berdepan pelbagai cabaran seperti peningkatan kos operasi dan ketidaktentuan ekonomi global, kerajaan MADANI terus komited memperkukuh ekosistem PMKS melalui pelbagai inisiatif sokongan.
Pada tahun 2025, kerajaan telah melaksanakan 344 program pembangunan PMKS dengan peruntukan sebanyak RM31.63 bilion. Hasil daripada pelaksanaan tersebut, seramai 6,600 usahawan baharu berjaya diwujudkan, 50,000 PMKS meningkatkan pengurusan perniagaan, manakala 8,000 PMKS berjaya mendigitalkan operasi mereka.
Selain itu, PMKS yang menerima bantuan kerajaan turut merekodkan peningkatan jualan sebanyak RM870 juta dan nilai eksport sebanyak RM6.8 bilion.
Bagi tahun 2026, kerajaan merancang untuk melaksanakan lebih 300 program pembangunan PMKS dengan jumlah peruntukan sebanyak RM60 bilion. Program-program ini meliputi pembiayaan, pembangunan modal insan, akses pasaran, pembangunan infrastruktur serta penerapan teknologi dan inovasi bagi membantu PMKS berkembang dan meningkatkan daya saing.
Usaha ini dilaksanakan selaras dengan kerangka ABCD KUSKOP, iaitu Anjakan Produktiviti, Birokrasi Dipermudah, Capaian Modal dan Daya Akses Pasaran, bagi memastikan lebih banyak perusahaan tempatan mampu berkembang daripada perniagaan kecil kepada syarikat bernilai tinggi serta menembusi pasaran antarabangsa.
SUMBER:






