Makluman: Penambahbaikan Pelaksanaan BUDI MADANI Diesel dan Akses Awal Subsidi Diesel Bersasar

TULAR:
2

Menurut Kementerian Kewangan (MOF):

Kementerian Kewangan memaklumkan bahawa beberapa penambahbaikan telah dilaksanakan bagi memastikan pelaksanaan BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel) berjalan dengan lebih lancar dan memberi manfaat kepada rakyat yang layak.

Antara penambahbaikan yang diumumkan ialah:

  • Pengecualian Fi Tukar Hak Milik (THM) kenderaan diesel selama tiga bulan bermula 1 Julai 2026.
  • Kaunter khas JPJ dibuka pada hujung minggu dari 4 hingga 26 Julai 2026 bagi urusan berkaitan BUDI Diesel.
  • Kelayakan subsidi boleh dipindahkan kepada ahli keluarga terdekat yang merupakan pengguna sebenar kenderaan, tertakluk kepada syarat yang akan diumumkan.
  • BUDI Diesel turut diperluaskan kepada kenderaan persendirian milik syarikat bagi kategori pikap dan jip.

Akses awal BUDI Diesel telah bermula pada 27 Jun 2026 bagi pemilik kenderaan diesel persendirian yang layak di Semenanjung Malaysia. Sepanjang tempoh ini, diesel bersubsidi boleh dibeli pada harga RM2.15 seliter melalui pengesahan MyKad di stesen minyak yang mengambil bahagian. Pelaksanaan penuh di seluruh negara akan bermula pada 1 Julai 2026 dengan harga diesel bersubsidi RM2.10 seliter.

Pada hari pertama pelaksanaan, hampir 24,000 transaksi direkodkan melibatkan pembelian hampir 1 juta liter diesel bersubsidi. Kementerian Kewangan memaklumkan bahawa sistem pengesahan MyKad beroperasi dengan lancar tanpa sebarang masalah serius.

Sehingga jam 11.00 pagi, 28 Jun 2026, portal rasmi BUDI MADANI telah menerima lebih 13,000 permohonan baharu bagi tambahan 100 liter diesel sebulan untuk pemilik kenderaan diesel jenis pikap dan jip yang layak. Dengan tambahan ini, had kelayakan bulanan meningkat daripada 200 liter kepada 300 liter.

Bagi sektor pengangkutan awam, logistik dan kenderaan komersial yang layak, subsidi diesel terus disalurkan melalui Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Orang ramai boleh membuat semakan status kelayakan, mengemukakan permohonan BUDI Diesel serta mendapatkan maklumat lanjut melalui portal rasmi BUDI MADANI, manakala permohonan SKDS boleh dibuat melalui portal MySubsidi KPDN.

SUMBER:

Facebook Rasmi MOF

Instagram Rasmi MOF

X Rasmi MOF


MAINKAN PERANAN ANDA!
Sekiranya anda mempunyai maklumat mengenai berita tidak ditentusah yang melibatkan kepentingan awam mahupun negara,
Salurkan Kepada Kami

TIDAK PASTI JANGAN KONGSI