Waspada Dengan Penipuan Menggunakan Maklumat Peribadi Yang Diperolehi Melalui Bungkusan Pembelian Barangan Secara Atas Talian

TULAR:
2218

Menurut siaran media Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK PDRM):

Merujuk kepada satu video yang tular berkenaan pihak yang tidak bertanggungjawab telah melakukan penipuan dengan menggunakan maklumat peribadi mangsa terutamanya nombor telefon bimbit yang diperolehi melalui bungkusan pembelian barangan secara atas talian.

Dalam video tersebut, suspek telah memperolehi maklumat peribadi mangsa seperti nama, nombor telefon dan alamat rumah daripada bungkusan kiriman barangan yang dibuang oleh mangsa ke dalam tong sampah di tempat awam. Suspek akan mula menghubungi dan mengganggu mangsa dengan menggunakan nombor telefon yang berlainan bertujuan untuk mendapatkan wang. Seterusnya suspek akan pergi ke rumah mangsa dengan menyamar sebagai pekerja syarikat penghantaran dan memaklumkan kepada ahli keluarga mangsa yang berada di rumah untuk membuat pembayaran terlebih dahulu kerana barang yang dipesan belum dibuat bayaran lagi.

Bagi meyakinkan penerima, kaedah yang digunakan oleh suspek sama seperti pekerja syarikat penghantaran yang lain di mana penerima perlu mengimbas kod bar sebelum barangan diserahkan sebagai bukti penerimaan.

Kaedah pembelian secara atas talian telah menjadai trend masyarakat pada masa kini kerana ianya menjimatkan masa dan harga yang ditawarkan pula lebih murah. Walaupun sehingga kini, masih tiada laporan polis yang diterima berkait kes-kes sebegini, pihak polis memberi jaminan siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan sebat akan dilaksanakan sekiranya kes-kes sebegini dilaporkan.

Ingin diingatkan kepada orang ramai untuk sentiasa berhati-hati apabila membuang sampul surat atau bungkusan yang ada mengandungi maklumat peribadi mereka. Pastikan pembuangan dibuat dengan cara yang selamat bagi mengelakkan maklumat tersebut digunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab untuk melakukan penipuan.

Sekiranya ada membuat pembelian barangan secara atas talian dan barang tersebut perlu dihantar ke rumah, pesan dengan ahli keluarga yang berada di rumah berkenaan butir-butir syarikat penghantaran dan status bayaran. Bagi ahli keluarga yang berada di rumah pula, jangan sewenang-wenangnya membuat pembayaran ke atas barangan yang dihantar sebelum mendapatkan pengesahan daripada ahli keluarga yang membuat pesanan.

Masyarakat juga digesa untuk membuat laporan polis sekiranya pernah menjadi mangsa penipuan yang menggunakan modus operandi sebegini agar siasatan sewajarnya dapat dilaksanakan.

SUMBER:

Facebook Rasmi JSJK PDRM


MAINKAN PERANAN ANDA!
Sekiranya anda mempunyai maklumat mengenai berita tidak ditentusah yang melibatkan kepentingan awam mahupun negara,
Salurkan Kepada Kami

TIDAK PASTI JANGAN KONGSI