Waspada E-Mel Atau Mesej Menggunakan Nama MCMC Bagi Tuntutan Hadiah Daripada Syarikat Telekomunikasi

TULAR:
673

Menurut kenyataan media Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC):

MCMC ingin menegaskan, pihaknya tidak pernah mengeluarkan sebarang e-mel atau mesej kepada orang awam untuk menuntut hadiah berupa wang tunai di bawah satu skim bonus yang ditawarkan oleh sebuah syarikat telekomunikasi.

E-mel atau mesej terbabit antara lain mendakwa, hasil pemantauan yang dijalankan oleh Rangkaian Pemantauan Perisikan Siber mendapati si mangsa yang ditujukan mesej berkenaan masih mempunyai transaksi yang belum diselesaikan dengan Maybank, iaitu sebagai pemenang hadiah wang tunai sebanyak RM270,000 di bawah Bonus Hadiah Keluarga TM. Selain itu, kandungan e-mel tersebut juga menjelaskan, transaksi dengan Maybank adalah sah dan mereka boleh menuntut wang tunai itu tanpa rasa takut.

Justeru, orang ramai diingatkan untuk sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan e-mel atau mesej yang tidak ditentukan kesahihannya. Elak daripada memberikan butiran peribadi seperti kad dan nombor kad pengenalan kepada individu yang tidak dikenali. Kewaspadaan orang ramai adalah penting dalam melindungi diri daripada menjadi mangsa penipuan, kecurian maklumat peribadi serta bentuk jenayah yang lain.

Sehubungan itu, MCMC menggesa orang awam untuk tidak mudah terpedaya dengan e-mel sedemikian. Pada masa yang sama, segera laporkan perkara tersebut kepada pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) atau Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) untuk perhatian dan tindakan susulan.

Berita Terdahulu (2022)
Berita Terdahulu (2020)

SUMBER:

Facebook Rasmi MCMC


MAINKAN PERANAN ANDA!
Sekiranya anda mempunyai maklumat mengenai berita tidak ditentusah yang melibatkan kepentingan awam mahupun negara,
Salurkan Kepada Kami

TIDAK PASTI JANGAN KONGSI