Waspada Individu Yang Menyamar Sebagai Setiausaha Politik Di KKR Bagi Tujuan Penipuan

TULAR:
2056

Menurut kenyataan media Kementerian Kerja Raya (KKR):

Pihak Kementerian Kerja Raya (KKR) Malaysia telah menerima aduan daripada orang ramai mengenai penipuan seorang lelaki yang mendakwa diri beliau adalah Setiausaha Politik, JUSA C di Kementerian Kerja Raya.

Bermodalkan surat pelantikan palsu daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), dan juga surat palsu Kerajaan Negeri Sarawak daripada Menteri Kanan Kerja Raya, YB Dato’ Sri Haji Fadillah Bin Yusof kepada YAB Dato Amar Abg Abdul Rahman Johari Bin Abg Openg, Ketua Menteri Sarawak, seorang lelaki, berasal dari Song, Sarawak telah berhubung dengan orang ramai dengan niat menipu wang ringgit.

KKR ingin menegaskan bahawa Menteri Kanan Kerja Raya, YB Dato’ Sri Haji Fadillah Bin Yusof tidak pernah sesekali mencadangkan dan menawarkan jawatan setiausaha politik kepada lelaki tersebut. Laporan polis telah dibuat berdasarkan aduan yang diterima daripada mangsa penipuan lelaki tersebut.

Pihak Kementerian juga tidak pernah melantik mana-mana ejen atau wakil untuk sebarang urusan penawaran kontrak kerja daripada Kementerian mahupun agensi. Orang ramai diminta supaya berhati-hati dan tidak tertipu dengan mana-mana individu atau sebarang tawaran yang mencurigakan.

SUMBER:

Laman Sesawang Rasmi KKR


MAINKAN PERANAN ANDA!
Sekiranya anda mempunyai maklumat mengenai berita tidak ditentusah yang melibatkan kepentingan awam mahupun negara,
Salurkan Kepada Kami

TIDAK PASTI JANGAN KONGSI