Waspada Penipuan Tawaran Kerja Sebagai Ejen Pembelian Lazada

TULAR:
2823

Menurut kenyataan media Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Selangor:

Polis Selangor mengesan modus operandi terkini sindiket penipuan yang menggunakan platform e-dagang sebagai medium untuk menipu mangsa. Modus operandi sindiket ini ialah menyamar sebagai ejen untuk mencari pekerja sambilan bagi platform e-dagang Lazada. Cara sindiket menipu mangsa adalah dengan memberikan beberapa tugasan dan menjanjikan keuntungan sebanyak 8% hingga 15% setelah melengkapkan tugasan tersebut. Mangsa dikehendaki membayar beberapa kos bagi membolehkan mereka memperolehi pulangan yang dijanjikan.

Berikut adalah cara-cara sindiket menipu mangsa dalam kes ini:

  1. Mangsa akan menerima satu pesanan ringkas melalui aplikasi WhatsApp yang menawarkan kerja sambilan dari nombor telefon yang tidak dikenali.

  2. Dalam pesanan WhatsApp tersebut, terdapat pautan yang perlu diklik oleh mangsa untuk menghubungi sindiket penipuan ini.

  3. Setelah mangsa klik pautan tersebut, pihak sindiket akan menawarkan kerja sambilan sebagai Online Purchasing Agent di mana mangsa akan menerima satu gambar barang yang dijual di dalam laman Lazada.
  1. Sindiket akan mengarahkan mangsa membayar harga barangan yang tertera di dalam gambar sepertimana dalam pesanan WhatsApp. Pembayaran ke atas barang tersebut akan dibuat terus ke dalam akaun sindiket tanpa melalui platform Lazada.

  2. Sindiket menerangkan kepada mangsa, tujuan pembayaran barang di dalam tugasan ini bukanlah untuk pembelian tetapi bertujuan untuk menaikkan rating barangan tersebut di dalam platform Lazada. Mangsa akan menerima semula kos pembayaran barangan yang dibayar sebelum ini bersama pulangan komisen sebanyak 8% hingga 15%.

  3. Kebiasaannya, bagi tugasan pertama dan kedua, mangsa akan menerima semula pulangan kos yang dibayar berserta komisen seperti yang dijanjikan. Akan tetapi, apabila masuk ke tugasan ketiga dan seterusnya, sindiket akan berdolak dalik untuk membuat bayaran sepertimana perjanjian, akhirnya sindiket gagal dihubungi.

Polis Selangor menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati ketika berurusan mencari pekerjaan sambilan terutama melalui sistem dalam talian. Orang ramai boleh membuat semakan melalui aplikasi Semakmule atau melalui laman sesawang https://ccid.rmp.gov.my/semakmule bagi sebarang urusan melibatkan akaun bank dan nombor telefon sebelum melakukan sebarang transaksi bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan.

SUMBER:

Facebook Rasmi Polis Selangor


MAINKAN PERANAN ANDA!
Sekiranya anda mempunyai maklumat mengenai berita tidak ditentusah yang melibatkan kepentingan awam mahupun negara,
Salurkan Kepada Kami

TIDAK PASTI JANGAN KONGSI