Pelantikan Menteri Besar Selangor Baharu Tidak Mengikut Peraturan Yang Sepatutnya?

TULAR:
645

PENJELASAN :

Istana Selangor memperjelaskan dakwaan bahawa pelantikan Menteri Besar Selangor yang baharu, Amirudin Shari adalah tidak mengikut peruntukan di bawah peraturan undang-undang yang sepatutnya, sepertimana yang hangat diperkatakan.

Sumber gambar: Facebook.

Menurut kenyataan Istana Selangor:

DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj telah memberi perkenan kepada pelantikan Yang Berhormat Amirudin Shari sebagai Dato’ Menteri Besar Selangor dengan mengikuti segala peruntukan yang diperuntukkan di bawah Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor, 1959 serta amalan/convention yang biasa dilakukan di dalam pelantikan seorang Menteri Besar di negeri Selangor.

Pada 7 Jun 2018, DYMM Tuanku telah menerima surat daripada Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), YAB Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang mencalonkan TIGA (3) orang Anggota Dewan Negeri Selangor untuk mendapat perkenan DYMM Tuanku sebagai calon pilihan Dato’ Menteri Besar Selangor.

Di dalam surat itu juga, YAB Datuk Seri Dr. Wan Azizah memohon perkenan DYMM Tuanku bagi menerima menghadap mana-mana calon yang pada pandangan DYMM Tuanku layak mengikut Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor bagi tujuan mengangkat sumpah sebagai Dato’ Menteri Besar Selangor.

Surat bertarikh 7 Jun 2018 oleh Presiden PKR ini juga secara tidak langsung membatalkan surat terdahulu yang ditulis oleh ketua-ketua parti politik negeri Selangor kepada DYMM Tuanku. Setelah diteliti dan mendapatkan pandangan daripada YAB Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, maka DYMM Tuanku telah berkenan dengan pelantikan salah seorang daripada calon yang disenaraikan iaitu YB Amirudin Shari yang juga Anggota Dewan Negeri Sungai Tua sebagai Dato’ Menteri Besar Selangor bagi penggal ke-14.

Sebagai rujukan, DYMM Sultan Selangor mempunyai kuasa budi bicara dalam pelantikan seorang Menteri Besar. Kuasa itu diperuntukkan sepertimana Artikel 51 dan Artikel 53, Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959.

Untuk rekod DYMM Tuanku sentiasa mengambil maklum pra syarat di bawah Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor yang mana DYMM Tuanku hendaklah melantik seorang anggota Dewan Negeri sebagai Dato’ Menteri Besar yang menurut pertimbangan Baginda mendapat kepercayaan majoriti Dewan Negeri dan syarat kedua, seorang Menteri Besar yang dilantik hendaklah berketurunan Melayu dan beragama Islam.

Artikel 51 dan Artikel 53 dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor, 1959, adalah berkaitan. Di samping itu ADUN yang sama iaitu ADUN Ijok telah juga mempersoalkan pelantikan YAB Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali sebagai Menteri Besar Selangor pada 11 Mei 2018 lalu yang dikatakan juga tidak mendapat restu daripada parti Pakatan Harapan.

Berikut diperjelaskan fakta berkaitan pelantikan YAB Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali. Sebelum pelantikan YAB Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, Ketua-ketua parti komponen Pakatan Harapan iaitu Presiden Parti Keadilan Rakyat, Presiden Parti Amanah, Presiden Parti PPBM dan Setiausaha Agung DAP telah menghantar surat kepada DYMM Tuanku mencalonkan YAB Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali sebagai calon Menteri Besar Selangor
Pencalonan ini dibuat bersandarkan kepada fakta bahawa YAB Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali telah menjadi Dato’ Menteri Besar Selangor sebelum ini dan telah menjalankan tugas dan tanggungjawab beliau dengan penuh dedikasi serta telah membawa parti Pakatan Harapan memenangi kerusi yang lebih besar semasa pilihanraya yang lalu.

Oleh itu adalah tidak bertepatan untuk ADUN Ijok untuk mengatakan bahawa beliau (ADUN Ijok) dicalonkan untuk memegang jawatan Dato’ Menteri Besar Selangor.

Pihak Istana Selangor sentiasa mematuhi peruntukan undang-undang dan ‘convention’ di dalam apa-apa tindakan dan tidak sama sekali campurtangan di dalam isu-isu berkaitan politik.

SUMBER :

Facebook Royal Selangor Office 


MAINKAN PERANAN ANDA!
Sekiranya anda mempunyai maklumat mengenai berita tidak ditentusah yang melibatkan kepentingan awam mahupun negara,
Salurkan Kepada Kami

TIDAK PASTI JANGAN KONGSI