Waspada Dengan Panggilan Telefon Individu Menyamar Sebagai Pegawai MCMC

TULAR:
1130

Menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC):

MCMC ingin mengingatkan orang ramai untuk berwaspada dengan panggilan oleh individu tidak dikenali yang menyamar sebagai pegawai MCMC dan mendakwa orang yang dihubunginya telah melakukan kesalahan.

Peringatan tersebut dibuat susulan seorang pengadu telah dihubungi oleh individu bernama Mohd Azim Abdul Aziz yang memaklumkan bahawa talian telefon pengadu telah menghantar pautan-pautan judi dan lucah ke serata telefon di Negeri Sembilan. Justeru, pengadu terbabit dikehendaki membuat aduan dalam tempoh 30 minit dan sekiranya gagal untuk berbuat demikian boleh menyebabkan talian telefon pengadu disekat dan disenaraihitamkan oleh pihak penyedia perkhidmatan.

Adalah dimaklumkan bahawa individu yang dimaksudkan iaitu Mohd Azim Abdul Aziz bukan kakitangan MCMC dan tidak pernah berkhidmat dengan pihak Suruhanjaya. Pada masa yang sama, sebarang pengumuman atau pemakluman mengenai sesuatu urusan berkaitan dengan Suruhanjaya lazimnya dilakukan mengikut saluran rasmi seperti laman sesawang ataupun menerusi platform media sosial Suruhanjaya dan bukannya menggunakan nama individu, penggunaan bahasa yang meragukan serta nombor telefon bimbit persendirian.

Sehubungan itu, MCMC menggesa orang awam untuk tidak mudah terpedaya dengan panggilan sedemikian oleh pihak tidak dikenali. Pada masa yang sama, segera laporkan perkara tersebut kepada pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk perhatian dan tindakan susulan.

SUMBER:

Facebook Rasmi MCMC
Twitter Rasmi MCMC
Instagram Rasmi MCMC


MAINKAN PERANAN ANDA!
Sekiranya anda mempunyai maklumat mengenai berita tidak ditentusah yang melibatkan kepentingan awam mahupun negara,
Salurkan Kepada Kami

TIDAK PASTI JANGAN KONGSI